SHAH ALAM: Usahawan tani di bandar raya ini diharap menggunakan peluang disediakan kerajaan berikutan ia mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha.


Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohammad Safie Asnawi,berkata dana sebanyak RM100,000 disalurkan kepada 220 Program Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) di seluruh negara menjayakan program seperti itu termasuk MPPP Shah Alam.


Katanya, beliau berharap agar peluang itu tidak disia siakan usahawan tani bagi memajukan usaha mereka. "Saya berharap usahawan tani di sini mengambil peluang disediakan kerajaan kerana ia adalah salah satu usaha kerajaan untuk memajukan bidang pertanian.


"Peluang ini juga mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya," katanya pada siding media selepas merasmikan Seminar Usahawan Tani sehari anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Tekun Nasional, semalam.


Kira kira 200 peserta sekitar Selangor menyertai seminar, turut membabitkan sembilan agensi kerajaan termasuk Jabatan Veterinar, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Agrikultur Malaysia (Mardi),Lembaga Nanas Malaysia (LNM), Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).