Petani perlu sertai PGU

BATU PAHAT 11 Nov. - Golongan petani disarankan agar meningkatkan lagi taraf sosioekonomi masing-masing dengan menyertai Program Galakan Usahawan (PGU) yang dijalankan oleh kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ab. Aziz Kaprawi berkata, ia secara tidak langsung dapat menjayakan usaha transformasi masyarakat petani kepada golongan usahawan bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Peruntukan sebanyak RM3 juta disediakan kerajaan untuk program PGU ini bagi memberi peluang kepada para petani memohon bantuan dengan syarat mereka telah mempunyai produk sendiri untuk dipasarkan.

“Ia penting kerana golongan petani masa kini bukan lagi golongan miskin seperti dahulu kerana telah ramai daripada mereka berjaya menjadi usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil dan peralatan PGU negeri Johor di Pejabat Pertanian Jelutong, Parit Raja dekat sini semalam.

Pada majlis itu seramai 20 petani dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan lima dari DUN Parit Yaani menerima pelbagai bantuan mesin bernilai kira-kira RM100,000.

Aziz menambah, jika dahulu golongan petani hanya memegang cangkul, parang dan tajak tetapi kini mereka sudah jauh berubah dengan memiliki pelbagai kemahiran dan mesin yang dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka.

Di Parit Raja katanya, telah ramai petani yang menjadi usahawan berjaya sama ada dalam pembuatan kuih-muih atau kerepek, begitu juga dengan penternak dan nelayan yang produk mereka telah berjaya dipasarkan ke luar negara.

Justeru, beliau meminta golongan petani agar melipatgandakan usaha kerana selain meningkatkan pendapatan keluarga ia juga dapat meningkatkan mutu produk keluaran mereka.

Tambahnya lagi, mereka yang telah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan layak untuk memohon tetapi yang belum memulakan sebarang perniagaan adalah tidak layak berbuat demikian.

Katanya lagi, setiap penerima PGU akan diberi peralatan yang diperlukan untuk meningkatkan mutu produk mereka dan dalam masa tiga tahun mereka tidak dibenarkan memohon bantuan PGU yang baru untuk memberi peluang kepada orang lain.

Selain itu jelasnya, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti pinjaman mikro melalui Bank Agro sehingga RM50,000 tanpa cagaran dan pelbagai bentuk bantuan lain untuk menambah baik perusahaan yang dijalankan.

Program PGU katanya, diyakini dapat mengubah sesebuah desa itu supaya mempunyai kegiatan ekonomi dan para petani dinasihatkan mengambil peluang yang sedia ada untuk meningkatkan produktiviti mereka


Sumber: Utusan Malaysia, 12 November 2009